PETALING JAYA – Proton melancarkan versi terkini kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B nombor satu di Malaysia, Proton X50 serba baharu yang ditawarkan pada harga bermula RM89,800.
Versi ini menampilkan ciri-ciri yang telah dikemas kini secara menyeluruh dengan gaya serba baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, pada tahun ini mereka akan melancarkan pelbagai model baharu dan antara yang dinanti-nantikan adalah model Proton X50.
Menurutnya, hari ini menjadi detik bersejarah dengan secara rasminya model Proton X50 serba baharu bagi tahun 2025 telah dilancarkan.
“Sejak pelancaran pada tahun 2020, model ini telah mencapai kejayaan luar biasa dengan lebih 140,000 unit telah terjual
“Saya percaya model terbaharu ini juga akan dapat mengulang prestasi tersebut.
“Pelancaran model serba baharu ini mencerminkan usaha berterusan kami dalam menghasilkan reka bentuk dan teknologi automotif terbaik dan dilengkapi dengan ciri-ciri terkini dan diuji ketahanan secara menyeluruh,” katanya ketika majlis pelancaran Proton X50 hari ini.
Tambahnya, antara ciri menarik yang dia suka pada model serba baharu ini adalah sistem arahan suara dalam Bahasa Melayu.
Model baharu Proton X50 ini tersedia dalam tiga varian iaitu Executive, Premium, dan Flagship.
Harga yang ditawarkan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia untuk varian Executive adalah RM89,800, varian Premium (RM101,800) manakala untuk varian Flagship (RM113,300).
Setiap pembelian Proton X50 model serba baharu ini disertakan dengan pelbagai pakej nilai tambah yang direka khas untuk meningkatkan pengalaman pemilikan.
Manakala, untuk 10,000 pelanggan pertama yang mendaftar kenderaan sebelum 31 Oktober ini, mereka berpeluang menikmati Tawaran GEMPAK! Eksklusif.
Tawaran ini merangkumi rebat tunai sebanyak RM4,000 dan pelbagai tawaran menarik lain. – KOSMO! ONLINE