Program itu merupakan siri pertama daripada tiga siri yang akan dijalankan di seluruh Perak, dan peserta berpeluang merebut hadiah utama RM5,000.
Pada 12 Julai lalu, seawal pukul 8 pagi, para peserta mula datang untuk membuat pendaftaran. Peserta-peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai peringkat umur dari sekitar Perak dan Selangor.
Bagi format pertandingan, peserta dikehendaki menangkap seberapa banyak ikan asing yang telah ditetapkan penganjur iaitu ikan bandaraya, baung ekor merah, Amazon redtail catfish, patin Chao Phraya dan peacock bass.
Pemenang-pemenang akan dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu Kategori Jumlah Keseluruhan Berat Ikan dan Kategori Jumlah Bilangan Ikan Terbanyak.
Pertandingan tamat secara rasminya pada pukul 4 petang keesokannya.
Rata-rata peserta berjaya mendaratkan antara 200 hingga 300 kilogram ikan asing.
Pengarah Perikanan Negeri Perak, Mohd. Ghazali A. Manap telah hadir merasmikan majlis penutup Grand Prix Memburu Ikan Asing Siri 1 2025 Negeri Perak.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan program yang berlangsung di daerah Kinta itu merupakan salah satu inisiatif Jabatan Perikanan Negeri Perak untuk mengurangkan populasi ikan asing di perairan umum negeri tersebut.
Program itu merupakan kesinambungan daripada aktiviti yang telah dijalankan di Pulau Cempakasari, Parit pada tahun lalu.

Bagaimanapun, program kali ini telah berjaya memecah rekod tangkapan ikan asing iaitu sebanyak 2.3 tan bersamaan 6,420 ekor.
Program seterusnya akan dilaksanakan pada 16 dan 17 Ogos ini di Jeti Nelayan Darat Sungai Galah.
Pada 13 dan14 September depan pula, acara ini dijadual berlangsung di Dataran Victoria, Kuala Kangsar.
Ikan bandaraya
Hypostomus plecostomus atau lebih dikenali sebagai ikan bandaraya atau pleco di Malaysia merupakan spesies ikan yang berasal dari Amerika Selatan. Ia telah dibawa masuk bagi tujuan sektor perikanan akuarium.
Malangnya, ia secara sengaja dilepaskan ke perairan umum apabila pemilik sudah tidak mahu membelanya dan spesies itu mula menguasai sungai-sungai utama di negara ini.
Sifat ikan bandaraya yang gemar menyedut makanan di dasar akan menyebabkan ia termakan telur-telur ikan.
Ini boleh mengakibatkan kepupusan spesies ikan tempatan.
Selain itu, sifatnya yang gemar menebuk lubang di tebing sungai juga boleh mengakibatkan hakisan dan runtuhan tebing sungai.
Bukan sahaja ikan bandaraya, lembangan Sungai Kinta juga kini mula dipenuhi dengan spesies ikan asing seperti keli Afrika, peacock bass, baung ekor merah dan sebagainya.
Untuk pengetahuan umum, perbuatan melepaskan spesies ikan asing juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985.
Usaha-usaha seperti program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai betapa pentingnya menjaga ekosistem perairan kita.














