fbpx
Azalina ketika membentangkan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) berhubung Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi Tahun 2023 di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto oleh JAPEN

Dewan Rakyat: Komitmen kerajaan pelihara hak asasi – Azalina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk terus memperkukuh usaha dalam memelihara dan mempromosi hak asasi manusia menerusi kerjasama erat dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) berhubung Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi Tahun 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Azalina, laporan tersebut mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan hak asasi manusia di negara ini dilindungi selaras dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi Malaysia Madani.

“Laporan ini bukan hanya formaliti, tetapi satu mekanisme penting bagi memastikan semua syor dan cadangan Suhakam diberi perhatian dan diteliti oleh Dewan yang mulia ini,” katanya.

Laporan Suhakam 2023 yang dibentangkan di Parlimen pada 21 Julai lalu, merangkumi tujuh bab termasuk bidang pendidikan, promosi hak asasi, pemantauan aduan, pemerkasaan dasar serta laporan kewangan yang telah disahkan oleh Jabatan Audit Negara.

Azalina berkata, antara inisiatif penting kerajaan ialah pemerkasaan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak melalui pindaan Akta Suhakam 1999 yang memperuntukkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua Pesuruhjaya lain.

“Pindaan ini juga memastikan komposisi Pesuruhjaya lebih mencerminkan kepelbagaian masyarakat termasuk wakil wanita dan golongan OKU,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Suhakam berperanan penting sebagai badan pemantau dan penasihat kepada kerajaan dalam memastikan prinsip hak asasi dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Tambahnya, perbahasan laporan tahunan Suhakam membuktikan kesediaan kerajaan untuk berbincang secara terbuka mengenai isu hak asasi, termasuk kemungkinan meratifikasi konvensyen antarabangsa berkaitan.

Azalina turut merakamkan penghargaan kepada pihak media atas liputan konsisten terhadap isu hak asasi yang membantu meningkatkan kesedaran rakyat dan mengangkat peranan Suhakam ke tahap yang lebih tinggi.

“Kerajaan Madani yakin perbahasan ini akan menjadi titik tolak kepada usaha reformasi berterusan ke arah Malaysia yang lebih prihatin, adil dan inklusif,” katanya sebelum menutup usul. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN