PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kelakuan pembangkang mempertahankan individu yang terlibat dengan rasuah dan mencuri wang negara dalam sidang Parlimen.
Menurut Anwar, pembangkang dilihat mempertahankan individu terbabit dengan sikap yang senang seolah-olah tiada apa berlaku dan tanpa sebarang kesan.
‘Bahkan kalau kita (kerajaan) ambil tindakan, mana boleh kasihan dia dah tua atau dah tiada. Kita bukan nak hukum orang mati, kita nak ambil balik duit yang dia ambil secara tidak sah.
“Tapi kita guna ruang Parlimen pembangkang mempertahankan orang yang memunggah kekayaan berbilion-bilion. Berniaga apa? Tak tahu. Berapa kekayaan? RM4 bilion. Berniaga apa? Beli saham agaknya. Apabila meninggal berapa dana? RM2 bilion. Ini amat tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengucapkan terima kasih kepada penglibatan para penjawat awam di atas kejayaan yang dicapai negara ketika ini.
Menurut beliau, prestasi dan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta badan penguatkuasaan lain keseluruhannya membanggakan.
Tegas beliau, perkara yang besar dan harus diteliti kerajaan adalah memastikan tiada kelemahan, kebocoran dan ketirisan.
“Kalau orang tanya, saya masih tekankan yang paling besar adalah tatakelola. Kena hentikan amalan boros, sakau yang menjadi budaya kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE