KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terus mempamerkan aksi konsisten apabila meneruskan cabaran ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka China.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou hari ini, pasangan No.28 dunia itu tidak berdepan banyak masalah untuk menewaskan wakil tuan rumah, Ren Xiang Yu-Sun Wen Jun 21-17, 21-14.
Turun berdepan beregu China yang menerima sokongan padu penyokong sendiri langsung tidak menghadirkan gerun buat pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021 itu apabila beraksi tanpa sebarang tekanan.
Sebaliknya, Xiang Yu-Wen Jun yang beraksi dalam keadaan tertekan apabila diasak bertubi-tubi oleh Ee Yi-Yew Sin yang seterusnya layak ke pusingan kedua bertemu Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand.
Ee Yi-Yew Sin dianggap sudah kembali ke prestasi terbaik mereka, lebih-lebih lagi mereka juga melayakkan diri ke separuh akhir pada Terbuka Jepun minggu lalu sebelum tewas kepada beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Turut melangkah ke pusingan kedua adalah beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 21-19, 21-15.
Melengkapkan empat beregu lelaki negara ke pusingan kedua esok adalah Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menewaskan rakan sepasukan, Arif Junaidi-Yap Roy King manakala Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong membenam Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dari Taiwan.
Dua beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dan Pearly Tan-M. Thinaah juga meneruskan kemaraan selepas masing-masing menewaskan Paulina Hankiewicz-Kornelia Marczak dari Poland dan rakan senegara, Carmen Ting-Ong Xin Yee. – KOSMO! ONLINE