SHAH ALAM – Tidak tahu lorong motosikal dan mahu cepat antara alasan lapuk digunakan segelintir penunggang motosikal yang dikenakan tindakan dalam operasi sekatan jalan raya di Kilometer (KM) 13.3 Lebuh Raya Persekutuan, di sini hari ini.
Dalam operasi lebih dua jam bermula 10 pagi tersebut turut mendapati ada sebuah motosikal dinaiki dua warga asing yang sarat dengan peralatan memotong rumput termasuk memeluk papan tanda dan kon serta memakai topi keselamatan berbanding topi keledar.
Operasi bersepadu dijalankan polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bersama Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) mengeluarkan 147 saman lalu lintas.
Seorang jurulatih kecergasan mahu dikenali lin, 20-an memaklumkan tidak menggunakan laluan motosikal disebabkan tidak mengetahui susur keluar ke tempat kerjanya di Klang.
Ujarnya, dia telah setahun menggunakan laluan sama dan tidak pernah disaman sebelum ini.
“Saya tak tahu simpang keluar kalau guna laluan motosikal. Malang pula hari ini dikenakan saman,” ujarnya.
Bagi penunggang warga Bangladesh dikenali, Ayatollah, 28, mengakui mengambil jalan mudah kerana sedang bekerja membersihkan kawasan rumput sepanjang lebuh raya itu.
“Saya tiada lesen tetapi motosikal ini baharu dua bulan beli. Lagipun saya dan rakan bersihkan rumput di dua arah lebuh raya ini.
“Mahu cepat itu pasal kawan tidak pakai helmet tetapi topi keledar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, sebanyak 180 buah motosikal telah diperiksa dengan 147 saman dikeluarkan pihaknya.
Ujarnya, daripada jumlah itu didapati 141 saman tidak menggunakan lorong motosikal diikuti menggunakan lorong kecemasan serta kesalahan lesen.
“Tujuan operasi bagi meningkatkan kesedaran penunggang motosikal khususnya susulan peningkatan kes kemalangan melibatkan mereka.
“Selain itu, khidmat unit dron PGU bertindak memberikan ‘birds eye view’ bagi mengenalpasti kenderaan-kenderaan yang melakukan kesalahan dari jarak jauh,” katanya. – KOSMO! ONLINE