JOHOR BAHRU – Seorang doktor muda berdepan ketakutan selepas terperangkap dalam jerat pinjaman wang melibatkan sebanyak lapan kumpulan along berbeza.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, doktor lelaki yang berusia 27 tahun itu kini berdepan hutang bernilai lebih RM100,000.
“Tindakan doktor muda ini adalah contoh sebenar ‘gali lubang, tutup lubang’. Kerana pada mulanya dia hanya meminjam RM5,000 daripada satu kumpulan along dan apabila gagal menyediakan duit untuk membayarnya, doktor muda ini meminjam daripada kumpulan along lain untuk membayar hutang terdahulu,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Skudai, di sini.
Tambah Marina, doktor tersebut hanya tampil membuat aduan di pejabat ADUN Skudai selepas menyedari gaji sebagai doktor tidak mampu untuk membayar semula hutang-hutang berkenaan.
“Difahamkan, doktor berkenaan membuat pinjaman tersebut kerana terpengaruh dengan gaya hidup mewah rakan-rakannya termasuklah melancong ke luar negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE