DUNIA menyaksikan detik bersejarah apabila pasukan Vera C. Rubin Observatory di Cerro Pachon, Chile melancarkan rakaman imej pertama yang mengguna kamera digital terbesar dalam bidang astronomi.
Kamera ini mencatat rekod tersendiri apabila berjaya merakam imej angkasa lepas dengan lebih jelas dan terperinci.
Dilancarkan pada Jun lalu, teleskop atau kamera yang diberi nama LSST Camera itu mempunyai resolusi 3,200 megapiksel (3.2 gigapiksel) dan berupaya menangkap imej yang memaparkan jutaan galaksi, bintang, awan debu angkasa.
Malah, ia juga berjaya merakam penemuan awal lebih 2,100 asteroid baharu dalam masa hanya 10 jam ujian awal.
LSST merupakan singkatan bagi misi Legacy Survey of Space and Time.
Menurut Pengarah Projek Vera Rubin Observatory, Dr. Zeljko Ivezic, setiap imej penuh dari LSST Camera meliputi kawasan langit seluas kira-kira 3.5 darjah, bersamaan dengan 40 hingga 45 bulan penuh yang tersusun.
“Gambar resolusi tinggi ini memerlukan kira-kira 1,500 skrin HD untuk dipaparkan sepenuhnya atau 400 TV 4K untuk paparan ultra-detail.
“Dalam hanya 10 jam operasi ujian, kamera telah mengesan 2,104 asteroid baharu, termasuk tujuh objek dekat Bumi (NEO), dan memuatkan sebanyak 10 juta galaksi dalam imej komposit Coffre du tresor cosmique (Peti Harta Kosmik),” katanya kepada satu media antarabangsa dalam temu bual baru-baru ini.
Tambahnya, sepanjang misi meliputi 10 tahun ke depan, projek ini dijangka dapat merakam kira-kira 5 hingga 20 bilion galaksi, sambil membantu memetakan jutaan objek dalam sistem suria kita serta menyokong pertahanan planet dengan mengenal pasti asteroid yang berpotensi membahayakan.
Berkongsi tentang ukuran dan spesifikasi teknikal, LSST Camera tersebut merupakan kamera digital astronomi terbesar di dunia. Ia bersaiz seperti kereta kecil, dengan dimensi kira-kira 1.65m × 3m dan berat 2.8 hingga 3.0 tan metrik.
Kamera ini terdiri daripada 189 sensor CCD saintifik (setiap satu berkapasiti 16 megapiksel) yang disusun dalam 21 ‘raft’, menjadikan total resolusi 3.2 gigapiksel
“Permukaan lensa fokus rata bersaiz diameter panjang 64 sentimeter dengan piksel bersaiz 10 mikron memberikan kepekaan tinggi beresolusi sudut yang lebih baik.

“Sensor tersebut disejukkan hingga negatif 100 Celsius dalam vakum untuk mengurangkan hingar elektronik dan memastikan ketepatan imej,” ujarnya.
Katanya lagi, kamera ini dilengkapi enam penapis optik (u,g,r,i,z dan y) yang memungkinkannya merakam spektrum daripada ultraungu hingga hampir inframerah (330 hingga ~1000nm).
Penapis ini boleh ditukar secara automatik dalam masa kurang dua minit, memudahkan rakaman gambar dalam pelbagai jalur spektrum.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Projek Rubin Observatory, Beth Willman memberitahu, misi LSST adalah rancangan observasi selama 10 tahun yang akan merakam semula seluruh langit Hemisfera Selatan setiap pukul 3 hingga 4 malam.
Imej-imej tersebut disunting sebagai filem kosmik terbesar yang pernah dibuat, memperlihatkan perubahan langit malam dengan ketelitian tinggi dari masa ke masa.
“Data yang dihasilkan diolah menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan pemprosesan pantas di mana setiap imej boleh dihantar melalui gentian optik dari Cerro Pachón kepada pusat data di
Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (SLAC) dalam tujuh saat dan dianalisis sepantas 120 saat, dengan pemberitahuan automatik dikeluarkan kepada komuniti astronomi jika objek baharu dikesan.
“Sistem AI juga mengurus jadual pemerhatian antara pelbagai kawasan langit untuk memaksimumkan masa bukaan shutter udara malam,” kongsi Willman.
Ujarnya lagi, Projek Rubin Observatory menyasarkan untuk menjawab persoalan asas dalam kosmologi iaitu suasana gelap, tenaga gelap, kadar pengembangan alam semesta, peta bintang dalam
Galaksi Bima Sakti dan penemuan objek seperti supernova, kuasa flash dan asteroid dekat Bumi.
Dengan data optik yang dijangka diperoleh dalam tahun pertama sahaja, ia dijangka sudah lebih banyak daripada jumlah keseluruhan teleskop optik sepanjang sejarah.
Misi ini dianggap sebagai permulaan zaman keemasan astronomi moden . Data juga akan tersedia secara awam melalui aplikasi seperti Skyviewer, membolehkan sesiapa sahaja menjelajah sudut paling dalam angkasa lepas yang dipetakan oleh LSST Camera.
“LSST Camera di Vera C. Rubin Observatory bukan sekadar alat pemerhati tetapi juga lambang kejayaan kejuruteraan dan sains, menyatukan ribuan saintis, jurutera dan institusi antarabangsa dalam misi kosmik yang besar.
“Dengan kemampuan untuk merakam 3,200 megapiksel, ia memetakan jutaan galaksi dan mengesan ribuan objek baharu termasuk ancaman asteroid. Ia bukan saja mengubah bagaimana kita melihat langit malam, tetapi membuka pintu kepada soalan-soalan sains yang sebelum ini tidak ternampak,” katanya.
Tambahnya, kamera digital terbesar dunia itu bukan sekadar menyusun peta kosmik tetapi mencipta filem dinamik alam semesta yang merakam sejarah langit malam.
Vera C. Rubin Observatory dan misi LSST kini memberikan nilai tambah kepada masyarakat bukan saja gambar tetapi pandangan mendalam tentang alam semesta kita dan inspirasi untuk manusia yang mencari tempatnya dalam landskap kosmik yang luas.














