KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam proses membangunkan kaedah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi penularan denggi di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penggunaan AI ini merupakan salah satu inisiatif proaktif kerajaan bagi mengekang penyebaran penyakit yang dibawa oleh nyamuk Aedes.
Katanya, walaupun jumlah kematian akibat denggi telah menurun berbanding tahun sebelumnya, keadaan itu masih menjadi isu yang membimbangkan.
“Tahun ini, sebanyak 21 kematian direkodkan akibat denggi, manakala kematian akibat Covid-19 hanya satu.
“Namun, jumlah ini jauh lebih rendah berbanding tahun lalu yang mencatatkan 83,000 kes dan 117 kematian,” katanya di Sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN–Kuala Langat) mengenai status pembangunan vaksin denggi dan cadangan memperkenalkan program vaksinasi kebangsaan untuk penyakit tersebut yang kini dikategorikan sebagai endemik.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, satu projek penyelidikan vaksin denggi bertajuk Development of Next-Generation Dengue Vaccine: Oral Vaccine for Dengue (ORAVAD) sedang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Malaya dengan dana di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Selain itu, katanya, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan pendaftaran bersyarat selama dua tahun bagi vaksin denggi berjenama Qdenga bermula 8 Februari lalu.
“Dalam tempoh pendaftaran bersyarat ini, syarikat pengeluar vaksin perlu mengemukakan laporan berkala mengenai keberkesanan dan keselamatan produk melibatkan penerima tempatan kepada PBKD,” katanya. -KOSMO! ONLINE.