BALING – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Baling awal pagi tadi selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu 42-Sungai Limau, di sini kelmarin.
Mangsa, Muhammad Armin Abdullah, 22, yang mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kiri disahkan meninggal dunia pukul 5 pagi tadi.
Nahas pada pukul 5.30 petang itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menguruskan penyimpanan peralatan kayak yang digunakan bagi program APM bersama Kelab Media Elit Kedah (KMEK).
Ibunya, Aniza Mohd Taib, 49, mengakui terkejut kerana anak ketiga daripada empat beradik itu masih boleh bercakap dan membalas pesanan WhatsApp selepas kemalangan tersebut.
“Sebelum kejadian, arwah sempat membantu mangsa kemalangan di Kampung Sungai Limau. Saya tak sangka kerana kecederaannya patah tangan dan kaki,” katanya di sini hari ini.
Aniza memberitahu, tiada perubahan ketara yang ditunjukkan, namun sejak kebelakangan ini anaknya rajin membantu rakan sepasukan bagi kes kemalangan dan aktiviti lain walaupun tidak bertugas pada hari berkenaan.
“Selepas bantu mangsa kemalangan petang itu, dia sempat singgah di rumah dan bersalaman dengan saya serta meminta izin untuk bertugas. Tidak sampai lima minit dia keluar, penduduk beritahu Armin terbabit kemalangan,” ujarnya.
Sementara itu, pasangan kembar Armin, Nur Aina Tasmin Abdullah, 22, berkata, dia sempat berbalas WhatsApp dan meminta arwah supaya bersabar menunggunya pulang dari Rawang, Selangor.
“Tak sangka pagi tadi abang pergi buat selama-lamanya. Saya pulang untuk melihat jasadnya yang sudah kaku,” katanya.
Pegawai APM Daerah Baling, (PA) Mohd Faizol Ab Aziz pula berkata, mereka kehilangan anggota yang berdedikasi dan baik dengan semua orang selain suka membantu kawan-kawan.
“Dalam kemalangan itu, kaki dan tangannya patah, namun keadaannya mula kritikal pada pukul 3 petang apabila tahap oksigen turun mendadak sehingga terpaksa dimasukkan ke wad unit rawatan rapi,” katanya. – KOSMO! ONLINE