JOHOR BAHRU – Tiga remaja lelaki yang ditahan berhubung kes menculik dan memukul pelajar kerana enggan menyertai kumpulan kongsi gelap minggu lalu disambung reman tiga hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Rabu itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohamad Ridhwan Syarizal selepas membenarkan permohonan yang dibuat pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Sebelum ini, ketiga-tiga suspek berusia 17 dan 18 tahun direman selama empat hari bermula Jumaat lalu.
Khamis lalu, seorang pelajar tingkatan empat mendakwa dia dan rakannya dilarikan sebelum dibelasah sekumpulan ahli kongsi gelap hanya kerana menolak untuk menyertai kumpulan mereka.
Mangsa yang dikenali sebagai Alex mendakwa kejadian tersebut berlaku pada pukul 6 petang ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bermain badminton.
Mereka didatangi sekumpulan lelaki yang memaksa menaiki dua kenderaan sebelum dibelasah. – KOSMO! ONLINE