fbpx
Gambar hiasan

Kerajaan dapat bayaran balik RM157.73 juta hasil audit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Audit yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bagi tempoh tahun 2024 hingga bulan Jun 2025 membantu kerajaan mendapat bayaran balik berjumlah RM157.73 juta.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, antara bayaran balik itu melalui tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah, kutipan duti dan cukai.

“JAN memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam LKAN diambil tindakan melalui Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN) dan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS)

“Kedua-dua jawatankuasa ini dianggotai oleh Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Wan Suraya berkata, kesemua isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) akan dimuat naik dalam Sistem Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD) untuk disusuli.

Menurut beliau, pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang diluluskan oleh Parlimen tahun lepas malah memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk menyusul tindakan yang telah diambil berhubung sebarang isu, syor, ulasan atau pandangan dalam LKAN.

Selain itu, katanya, pindaan Akta 62 juga memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit badan lain termasuk syarikat berdaftar yang menerima jaminan kewangan daripada kerajaan.

Tambah beliau, pindaan itu juga memberi kuasa Ketua Audit Negara menjejaki dana awam melalui pendekatan baharu ‘Follow The Public Money Audit’; mengeluarkan sebarang garis panduan sekiranya perlu dan memberikan sebarang syor dalam menangani sebarang penyelewengan yang serius untuk mengatasi penyalahgunaan wang awam.

Ujar beliau, pindaan tersebut merupakan bukti komitmen kerajaan dalam merealisasikan reformasi institusi dan memperkukuh tadbir urus negara.

“Langkah ini memperluas kuasa Ketua Audit Negara serta meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban agensi awam seterusnya memperkukuh keyakinan rakyat.

“Mulai tahun 2025, JAN telah memperkenalkan sistem eSelfAudit yang dibangunkan secara dalaman bagi mengaudit 1,856 syarikat kerajaan yang diwartakan.Pengauditan terhadap syarikat-syarikat kerajaan ini akan dilaksanakan setiap tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI