JAKARTA – Seorang bapa terkejut apabila menerima sut perlindungan diri (PPE) selepas membeli baju hujan secara online pada harga promosi, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Rakaman video di platform TikTok oleh akaun @lediya_na menunjukkan lelaki itu memakai sut PPE di hadapan anak-anaknya.
Malah, sut tersebut lengkap dengan but khas yang digunakan oleh petugas kesihatan bagi mengawal risiko jangkitan Covid-19.
“Seorang bapa membeli baju hujan pada harga promosi secara online, namun yang diterima adalah PPE,” demikian menurut keterangan video itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 4.7 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Ini baju hujan Covid-19,” kata seorang netizen.
“Baju hujan yang kalis air, virus dan radiasi,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI