JAKARTA – Seorang penternak haiwan di Temanggung, wilayah Jawa Tengah terkejut apabila menemui tulisan menyerupai kalimah Allah pada badan anak kambing peliharaannya, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Rakaman video di media sosial menunjukkan tulisan berupa kalimah Allah berwarna putih pada bulu anak kambing tersebut.
Pemilik kambing, Imam Samudra berkata, haiwan unik itu dibeli daripada penternak lain pada Khamis lalu.
“Saya belum pernah menyaksikan perkara aneh seperti ini walaupun sudah menjadi penternak kambing sejak tahun 1975,” kata Imam.
Berita mengenainya tersebar meluas, menyebabkan ramai orang ingin membeli kambing itu. Mereka menawarkan harga antara 15 juta rupiah (RM3,895) hingga 20 juta rupiah (RM5,194).
Terdapat juga penduduk dari Karangwuni, wilayah Jawa Tengah yang menawarkan harga 25 juta (RM6,492) hingga 35 juta rupiah (RM9,089).
“Saya masih sayang dan enggan melepaskan anak kambing ini,” tambahnya. – AGENSI