ROMPIN – Seorang peniaga kedai makan maut selepas motosikal jenis Honda C100 ditunggangnya terbabas dan merempuh tiang papan tanda jalan di Jalan Felda Selancar 4 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu berlaku ketika mangsa, Mohd Junaidi Ahmad, 34, dalam perjalanan dari arah Felda Selancar 4 menghala ke Felda Selancar 2 di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal ditunggang mangsa telah terbabas dan melanggar tiang papan tanda jalan yang berada di bahu jalan sebelah kanan.
“Akibat kemalangan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus serta rata dan semasa kejadian permukaan jalan kering dan cuaca baik. – KOSMO! ONLINE