PETALING JAYA – Polisi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membabitkan kemasukan ke universiti awam (UA) tidak pernah meminggirkan kumpulan B40, M40 atau mana-mana golongan lain.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, golongan tersebut malah menjadi keutamaan KPT selagi memenuhi syarat dan merit yang ditetapkan.
“Isu kononnya wujud pengambilan berdasarkan kuota tertentu adalah tidak tepat. Kemasukan ke UA masih berpandukan sistem UPUOnline sebagai saluran utama.
“Walaupun terdapat saluran alternatif lain, syarat kelayakan dan prinsip meritokrasi tetap diguna pakai tanpa kompromi. Semua calon tetap perlu memenuhi keperluan program sebelum ditawarkan tempat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Zambry berkata, beliau menjelaskan perkara tersebut pada program In Person With Doc Zam (IPWDZ) bersama pelajar program asasi daripada lima buah universiti semalam.
Kata beliau, program itu menghimpunkan lebih 3,000 pelajar Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Pusat Asasi UiTM, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Menurutnya, beliau turut berkongsi dengan pelajar terlibat supaya jangan ada perasaan rendah diri disebabkan datang daripada latar belakang keluarga yang susah.
“Saya juga datang daripada keluarga yang susah. Alhamdulillah Allah bantu dan beri kekuatan untuk saya mengubah nasib diri dan keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE