LONDON – Golongan belia United Kingdom (UK) yang berusia 16 dan 17 tahun akan dibenarkan mengundi dalam pilihan raya umum akan datang susulan langkah besar diumumkan oleh Parti Buruh untuk menurunkan had umur pengundi, lapor akhbar Metro UK semalam.
Manifesto Parti Buruh tahun lalu menyatakan komitmen untuk menurunkan had umur pengundi kepada 16 tahun.
Hal itu bertujuan untuk menggalakkan penyertaan golongan muda secara lebih aktif dalam sistem demokrasi yang dinamik di negara itu.
Timbalan Perdana Menteri, Angela Rayner berkata, langkah proaktif itu adalah untuk menghapuskan halangan penyertaan demi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang terlibat dalam proses demokrasi di negara itu.
“Ini selari dengan Pelan Perubahan kami dan komitmen manifesto untuk memberikan hak mengundi kepada golongan berusia 16 tahun,” ujarnya.
Remaja berusia 16 dan 17 tahun di Scotland telah diberikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya tempatan dan Parlimen Scotland sejak tahun 2014.
Di Wales pula, hak yang sama mula diberikan kepada golongan muda itu bermula tahun 2021. – AGENSI