GEORGE TOWN – Aktiviti penipuan dalam talian dilihat semakin meruncing di Pulau Pinang apabila nilai kerugian yang direkodkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini mencecah lebih RM112 juta.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, jumlah kerugian akibat kes scam yang dicatatkan dari Januari hingga Jun tahun ini ialah lebih RM112 juta, berbanding RM70.1 juta pada tahun 2024, menunjukkan peningkatan sebanyak RM42.9 juta
”Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, polis Pulau Pinang telah melaksanakan lapan serbuan ke atas sindiket pusat panggilan (call centre) dan berjaya menahan seramai 75 individu, melibatkan 51 lelaki dan 24 wanita.
”Daripada jumlah itu, 39 adalah warga tempatan, manakala 36 lagi merupakan warga asing,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua tangkapan tersebut adalah hasil siasatan rapi dan tindakan proaktif oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM Pulau Pinang dalam membanteras kegiatan scam yang dilihat semakin kompleks dan licik.
Dalam perkembangan lain, Mohd Alwi berkata, polis sedang mengenalpasti sindiket ah long yang mengupah dua lelaki yang telah ditahan polis bagi membantu siasatan kebakaran tiga rumah teres di Tasek Gelugor, pada 24 Jun lepas.
Katanya dua lelaki itu bekerja dengan satu sindiket along yang bertindak mengupah kedua-dua suspek dipercayai untuk melakukan jenayah tersebut.
Katanya, siasatan juga mendapati peminjam adalah antara mangsa kebakaran berkenaan. -KOSMO! ONLINE