fbpx

Kematian dicemburui, imam rebah ketika solat Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAKAMAN CCTV merakam detik arwah rebah ketika mengimamkan solat Jumaat di Masjid Ar Rahmat, Felda Lembah Klau dekat Raub tengahari tadi.

RAUB – “Pergi dalam keadaan suci, sedang menghadap Allah.”

Begitulah pemergian yang dianggap cukup dicemburui oleh ramai, apabila seorang imam rebah lalu meninggal dunia ketika mengimamkan solat Jumaat di Masjid Ar Rahmat, Felda Lembah Klau di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari, Tengku Badri Tengku Jaafar, 60, yang juga peneroka Felda, rebah secara tiba-tiba ketika memimpin lebih 300 jemaah dalam rakaat kedua solat Jumaat.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam masjid turut merakam detik memilukan itu apabila arwah kelihatan baru sahaja bangkit dari rukuk sebelum tiba-tiba hilang keseimbangan lalu rebah ketika ingin sujud.

Penghulu Mukim Gali 2, Mohd Azmil Harun berkata, pemergian allahyarham sangat mengejutkan namun disifatkan sebagai satu kematian yang dicemburui kerana berlaku dalam keadaan mulia.

“Arwah pergi ketika sedang memimpin solat Jumaat, dalam keadaan suci, penuh tawaduk di rumah Allah. Ia satu pengakhiran yang sangat indah, ramai yang terkesan dan sebak,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, arwah mempunyai sejarah penyakit jantung.

Jenazah disolatkan di masjid sama selepas solat Isyak dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lembah Klau malam ini.-KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI