fbpx

Lebih 4,000 anggota tentera terlibat Eksesais Keris Strike Siri 30/2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis perasmian pembukaan eksesais berkenaan dilaksanakan di Padang Kawad Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) di Ipoh, hari ini.

IPOH – Eksesais Keris Strike Siri 30/2025 yang berlangsung di negeri ini, bermula 17 hingga 29 Julai ini menyaksikan penglibatan lebih 4,000 anggota tentera dari Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Australia.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) berkata, majlis perasmian pembukaan eksesais berkenaan disempurnakan di Padang Kawad Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD), di sini hari ini.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim bersama Pembantu Penasihat Pertahanan Australia ke Malaysia, Wing Commander Mike Edwards dan Timbalan Jeneral Pemerintah 25th Infantry Division United States Army, Kolonel Jim D. Kiersey.

“Eksesais ini melibatkan kerjasama ketenteraan tiga hala antara Tentera Darat Malaysia (TDM), United States Army Pacific Command (USARPAC) dan Tentera Darat Australia.

“Eksesais tahunan yang kini memasuki siri ke-30 ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik, meningkatkan keupayaan operasi bersama (interoperability) serta memantapkan hubungan ketenteraan di antara negara-negara yang terlibat,” katanya di sini, hari ini.

Sel Perhubungan Raya Markas TDM berkata, sejak mula dianjurkan, eksesais itu telah menjadi platform penting bagi latihan ketenteraan gabungan yang merangkumi komponen seperti Staff Exercise (STAFFEX), Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Cross Training Exercise (CTX), dan Field Training Exercise (FTX).

Katanya, pada tahun lalu, eksesais itu mencatat sejarah tersendiri dengan penglibatan sulung Rifle Company Butterworth (RCB) daripada Tentera Darat Australia.

“Eksesais Keris Strike 2025 menyaksikan penglibatan Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged) selaku formasi utama, bersama 1-27 Infantry Regiment dari 25th Infantry Division (USARPAC), Hawaii serta Rifle Company Butterworth (Tentera Darat Australia).

“Latihan ini dilaksanakan dari 17 hingga 29 Julai 2025, merangkumi kawasan strategik di sekitar Sungai Siput hingga Lenggong, Perak,” katanya.

Menurutnya, fasa FTX yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 29 Julai depan akan menjadi komponen utama eksesais itu, seterusnya memperlihatkan tahap kesiapsiagaan dan koordinasi bersama antara angkatan tentera yang terlibat.

“Eksesais ini bukan sahaja mengukuhkan kebersamaan ketenteraan, tetapi juga menjadi simbol komitmen Malaysia dan rakan-rakan strategik dalam menjaga keselamatan serta kestabilan serantau,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI