IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempunyai mekanisme tersendiri untuk menilai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bersifat munasabah ekoran peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada awal bulan ini.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, terdapat beberapa elemen menjadi pertimbangan menilai kenaikan harga itu sama ada ianya rasional atau peniaga yang cuba mengambil kesempatan semata-mata.
“Terdapat beberapa elemen yang diambil untuk menentukan sama ada berlaku pencatutan atau tidak, termasuklah jenis barang dan perkhidmatan, pendaftaran dan tarif SST, Jabatan Kastam selain pengiraan margin keuntungan sebenar.
“Ada formula termasuk kos pengeluaran sebelum menentukan kenaikan itu bersifat munasabah atau tidak, jadi jangan jadikan alasan perluasan SST untuk menaikkan harga sewenang-wenangnya,” katanya kepada pemberita di Pasar Raya TF Value-Mart Tambun di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan terdapat peniaga barangan dan perkhidmatan memberi alasan masih menggunakan stok-stok lama untuk mengekalkan harga semasa.
Peniaga-peniaga itu mendakwa akan menaikkan harga sebaik sahaja menerima barangan baharu daripada pembekal.
Berhubung Ops Kesan 4.0 di negeri ini, Kamaluddin berkata, pihaknya memantau dan mengekang aktiviti pencatutan secara serius.
Katanya, sehingga semalam, sebanyak 48 premis yang melibatkan 239 unit simpanan stok (SKU) barangan telah diperiksa bagi tujuan analisis dan pengumpulan data harga. – KOSMO! ONLINE