MELAKA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan pada telinga kiri dipercayai akibat ditepuk pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) di Padang Temu, di sini semalam.
Lebih mengejutkan, insiden itu dikatakan berlaku pada hari dan lokasi sama seorang bayi lelaki berusia enam bulan dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas tertiarap.
Ibu kanak-kanak tersebut, Nurul Shafiqa Dawood, 33, berkata, kejadian disedari ketika dia mengambil anaknya, Faiqah Dalila Faris Danial, dari taska berkenaan pada pukul 5.30 petang.
“Anak saya mengadu telinga kirinya sakit kerana ditepuk cikgu di taska dan sepanjang malam dia menangis tanpa henti sebab kesakitan.
“Saya terus bawa dia ke klinik pada pukul 11 malam dan doktor sahkan memang ada kesan luka serta bengkak di telinga kiri. Kami kemudian ke Hospital Melaka dan buat laporan polis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, kejadian itu bukan kali yang pertama dialami anak sulungnya.
“Bulan Februari lalu, anak pernah mengadu sakit semasa buang air kecil dan bila diperiksa kemaluannya kemerahan.
“Anak beritahu dia dipukul dan dicucuk dengan rotan oleh pengasuh, tetapi masa itu saya tak buat laporan sebab tak nak panjangkan hal tersebut,” luahnya dengan nada kesal.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kes tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan terhadap kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE