fbpx

Tarif baharu bantu pengguna fahami perbelanjaan, kawal penggunaan tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Penstrukturan semula tarif elektrik yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu dilaksanakan dengan menekankan prinsip keadilan, ketelusan dan kemampuan demi manfaat lebih 23 juta pengguna di semenanjung Malaysia.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Suruhanjaya Tenaga (ST), langkah tersebut dirangka selaras dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi menggalakkan rakyat mengamalkan penggunaan tenaga secara mampan dan cekap.

“Pelaksanaan tarif baharu ini akan membantu pengguna memahami secara lebih telus bagaimana wang mereka dibelanjakan untuk memastikan bekalan elektrik berterusan.

“Pelanggan juga akan mempunyai lebih kawalan terhadap penggunaan dan perbelanjaan tenaga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mengulas lanjut, industri bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dan dikawal selia oleh ST.

Sebagai tambahan, Insentif Cekap Tenaga turut diperkenalkan bagi menggalakkan penjimatan dan membantu pengguna mengurus bil bulanan mereka dengan lebih berkesan.

“Ciri baharu dalam penstrukturan tarif kali ini turut merangkumi pecahan caj secara terperinci dalam bil elektrik sebagai langkah meningkatkan ketelusan.

“Selain itu, caj dikenakan kepada pelanggan akan lebih adil, iaitu berdasarkan kadar penggunaan di mana mereka yang menggunakan tenaga elektrik dalam jumlah rendah akan menikmati kadar yang lebih murah,” katanya.

Penstrukturan ini dijangka memberi impak positif kepada isi rumah dan perniagaan, dengan matlamat jangka panjang ke arah sistem bekalan tenaga negara yang lebih lestari dan berdaya tahan.

Sementara itu, sebanyak tiga komponen utama dalam struktur tarif elektrik negara disemak semula susulan pelaksanaan tarif elektrik baharu bermula 1 Julai lalu hingga 31 Disember 2027.

Penstrukturan itu melibatkan penyelarasan kadar purata tarif asas, pengenalan jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api yang lebih dinamik dan telus.

Katanya, perubahan tersebut dilaksanakan di bawah Tempoh Regulatori Keempat (RP4) menerusi kerangka Incentive-Based Regulation (IBR) yang diluluskan kerajaan, selaras dengan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Kadar purata tarif asas ditetapkan pada 45.40 sen/kWj, sedikit lebih rendah berbanding 45.62 sen/kWj yang diumumkan Disember lalu. Ini menjadikan kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding tempoh terdahulu (RP3).

“Jadual tarif baharu pula menyaksikan perubahan ketara pada kategori pengguna yang dibahagikan kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan penggunaan voltan rendah, sederhana dan tinggi.

“Caj turut disusun semula mengikut komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan yang lebih sepadan dengan kos sebenar,” katanya.

ST berkata, bagi menggalakkan penggunaan tenaga secara berhemah, kerajaan turut memperkenalkan Insentif Cekap Tenaga kepada pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 1,000 kWj sebulan, manakala pengguna bukan domestik voltan rendah dengan penggunaan di bawah 200 kWj turut menerima manfaat sama.

Tambahnya, pelaksanaan jadual tarif baharu ini adalah langkah penting ke arah sistem tenaga negara yang lebih efisien, mampan dan inklusif, selain memastikan kebajikan pengguna terus terbela. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI