fbpx

Pantau aktiviti PATI, elak jadi ‘perkampungan asing kotor’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan dibuang PATI yang mencemarkan imej kawasan berkenaan.

SERDANG – Sikap segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak menjaga kebersihan dengan membuang sampah sesuka hati mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penduduk tempatan di kawasan Pangsapuri Putra Permai Selesa, Seri Kembangan di sini.

Antara perbuatan yang dikesali termasuk membuang barang tajam seperti pisau ke dalam saluran paip, meludah kulit sirih di merata-rata, membuang tilam lama sesuka hati dan membiarkan anak-anak kecil membuang air di tangga.

Lebih menjijikkan, sistem saliran utama kediaman juga dikatakan tersumbat berulang kali gara-gara sisa kotor dibuang ke dalam saluran air hingga menyebabkan rumah penduduk lain dinaiki air setiap kali mandi.

Seorang penduduk, Wan Mohd Shaari, 32, berkata, sejak menetap di kawasan itu hampir tiga tahun lalu, isu utama yang kerap berlaku adalah pembuangan sampah sesuka hati dan sistem saliran tersumbat akibat perbuatan PATI.

“Saya dah menegur mereka, malah saya sendiri membaiki paip utama, tapi perangai mereka masih sama,” kata ketika ditemui Kosmo! semalam.

Menurutnya, dia pernah pergi dari rumah ke rumah untuk menasihatkan penyewa asing namun usahanya hanya sia-sia kerana masalah sama masih berulang.

“Penyewa sebelum saya juga warga asing. Masa mula-mula masuk rumah keadaannya terlalu kotor hingga tidak boleh duduk langsung,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Muhammad Zulkhairi Ibrisam, 33, berkata, selain kotor, gelagat PATI juga menjengkelkan kerana sering menimbulkan kekecohan.

“Mereka gaduh tengah malam, anak-anak kencing di tangga dan meludah sirih sampai terkena motosikal saya,” katanya.

Muhammad Zulkhairi mengakui dia sudah ‘lali’ dengan gangguan sejak tiga tahun lalu itu.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Azuan Mohd. Juman, 37, memberitahu, tindakan membuang tilam buruk dan barang besar di merata-rata turut menyumbang kepada imej kotor di kawasan berkenaan.

“Mereka juga suka buat bising pada waktu malam, anak-anak bermain sampai lewat pagi dan kadangkala bergaduh sebab mabuk. Saya tinggal sini tujuh tahun. Perkara ini memang sudah lama berlarutan,” jelasnya.

Beliau berharap operasi bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa kali ini bukan yang terakhir, sebaliknya diteruskan secara berkala bagi mengembalikan ketenteraman di kawasan kediaman itu.

“Kali ini operasi besar dan kami harap ia tak terhenti macam sebelum ini. Dulu serbu, seminggu dua lepas tu mereka datang balik,” katanya.

Penduduk juga berharap pihak berkuasa dapat memantau pemilik unit yang didakwa menyewakan rumah tanpa mempedulikan kesan kepada jiran dan masyarakat sekitar.

Pada operasi bersepadu Jabatan Imigresen semalam, seramai 741 warga asing diperiksa, manakala 496 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI