KUANTAN – Kegiatan penyimpanan diesel tanpa permit sah terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merampas barangan kawalan dianggarkan bernilai RM193,195 dalam satu serbuan di sebuah stor haram di Taman Polo, Indera Mahkota 8, di sini hari ini.
Serbuan khas yang dilaksanakan menerusi Ops Tiris 2025 itu berjaya menyita sebanyak 17,000 liter minyak diesel, dua buah kereta serta peralatan simpanan dipercayai digunakan untuk tujuan pengedaran minyak terbabit ke beberapa lokasi sekitar Kuantan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Pahang, Mohd. Hafiz Ramli berkata, rampasan terdiri daripada ‘skid tank’ dan diesel dianggarkan bernilai RM53,195, manakala dua buah kenderaan yang digunakan dalam kegiatan tersebut pula dianggarkan bernilai RM140,000.
“Operasi ini merupakan hasil daripada risikan yang telah dijalankan selama lebih kurang sebulan, kita dapati ada aktiviti mencurigakan di kawasan ini,” katanya dalam sidang akhbar di stor haram berkenaan, di sini hari ini.
Turut ditahan dalam operasi itu ialah enam pekerja warga asing yang terdiri daripada warga Bangladesh dan Myanmar yang dipercayai pekerja di premis berkenaan.
“Hasil maklumat awal mendapati mereka telah beroperasi lebih setahun dan premis ini turut digunakan untuk menyimpan diesel bagi penjana elektrik di 33 buah menara telekomunikasi sekitar daerah ini,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE