WASHINGTON – Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) gagal bertindak balas selepas menerima maklumat perisikan sehingga menyebabkan Presiden Donald Trump ditembak ketika berkempen pada Julai tahun lalu, demikian menurut Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kerajaan.
Kesimpulan itu dibuat selepas Kongres AS melakukan siasatan terhadap cubaan membunuh Trump oleh seorang lelaki bersenjata semasa perhimpunan kempen pilihan raya pada 13 Julai 2024 di Butler, Pennsylvania.
Insiden genap setahun itu menyebabkan kecederaan pada telinga Trump.
Dalam kejadian itu, seorang pengunjung terbunuh dan dua yang lain cedera sebelum anggota penembak tepat kerajaan membunuh penyerang, Thomas Crooks yang berusia 20 tahun.
“Apa yang berlaku adalah kegagalan yang tidak boleh dimaafkan. Akibat yang dikenakan ke atas kegagalan tersebut setakat ini tidak menggambarkan keterukan keadaan,” kata laporan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kerajaan, Senat AS.
Laporan itu bagaimanapun tidak memberi penerangan baharu mengenai motif penyerang yang kini masih menjadi misteri.
Namun, ia menuduh Perkhidmatan Rahsia melakukan kegagalan yang boleh dicegah dan hampir meragut nyawa Trump.
“Perkhidmatan Rahsia AS gagal bertindak atas risikan yang boleh dipercayai dan gagal menyelaraskan dengan penguat kuasa undang-undang tempatan,” kata Pengerusi jawatankuasa itu, Rand Paul.
“Walaupun berlakunya kegagalan itu, tiada siapa yang dipecat. Ia adalah kerosakan sepenuhnya setiap peringkat keselamatan yang didorong oleh perbezaan birokrasi, kekurangan protokol jelas dan keengganan yang mengejutkan untuk bertindak ke atas ancaman secara langsung.
“Kita mesti mendesak individu bertanggungjawab dan memastikan pembaharuan dilaksanakan sepenuhnya supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” tambah Paul.
Perkhidmatan Rahsia memetik kesilapan komunikasi, teknikal dan manusia serta berkata, pembaharuan sedang dijalankan.
Menurutnya, ia termasuk penyelarasan antara badan-badan penguat kuasa undang-undang yang berbeza serta penubuhan bahagian khusus untuk pengawasan udara.
“Enam kakitangan telah dikenakan tindakan disiplin,” kata agensi itu sambil menambah, hukuman termasuk penggantungan kerja tanpa gaji antara 10 hingga 42 hari dan mereka perlu menjalankan tugas yang tidak penting.
Insiden dramatik itu bagaimanapun menyemarakkan usaha Trump untuk kembali ke White House dan memikat hati pengundi.
Kempen-kempennya menggunakan gambar beliau dalam keadaan berlumuran darah dan menunjukkan isyarat penumbuk ketika beliau tergesa-gesa dibawa keluar dari pentas.
Awal minggu ini, semasa mengimbas kembali insiden cubaan membunuh itu, Trump berkata: “Kesilapan telah pun dilakukan.”
Beliau bagaimanapun mengakui berpuas hati dengan siasatan tersebut. – AFP