fbpx

Dijemput Ilahi ketika gunting rambut pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALLAHYARHAM Kamalludin meninggal dunia ketika mengunting rambut seorang pelanggan di kedai miliknya di Jalan Solok, Tangkak, petang semalam.

TANGKAK – Seorang tukang gunting dijemput Ilahi ketika sedang menggunting rambut seorang kanak-kanak di dalam kedainya di Jalan Solok, di sini petang semalam.

Ketika kejadian pada pukul 5.30 petang itu, Allahyarham Kamalludin Abdul Majid, 59, dikatakan rebah sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Seorang rakan Allahyarham Kamalludin, Mohd Amirul Aizad Azman, 40, tidak menyangka kata-kata arwah yang mengatakan dia akan pergi dulu sebelumnya menjadi kenyataan.

“Saya kenal dia sebab kerap datang ke kedainya untuk gunting rambut, kadang-kadang bawa anak.

“Arwah bukan sahaja rakan karib malah saya anggap seperti abang dan pemergiannnya dalam keadaan mengejut membuatkan saya sangat terasa sedih.

“Teringat semasa bersembang-sembang sebelum ini dia pernah cakap yang dia akan ‘pergi’ dulu, tak sangka semalam kata-katanya menjadi kenyataan,”katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Amirul berkata, arwah Kamalludin merupakan seorang yang peramah, tidak sombong serta suka membantu.

“Kami dah lama mengenalinya dan arwah seorang peramah dan tidak sombong malah layanan kepada pelanggan sangat baik. Sewaktu zaman persekolahan, saya pernah tertinggal duit untuk bayar gunting rambut tapi arwah sanggup halalkannya.

“Disebabkan khidmatnya amat baik, saya sanggup bawa anak dari Melaka untuk ke kedainya,”katanya.

Menurutnya lagi, arwah menjalankan perniagaan itu lebih 10 tahun lalu dan amat dikenali penduduk di Tangkak memandangkan harga ditawarkan sangat berbaloi.

“Saya sebagai ejen hartanah banyak belajar daripada arwah, walaupun bidang kami berlainan, tapi nasihat dan tunjuk ajar cukup bermakna,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib mengesahkan kejadian itu dan berkata, hasil bedah siasat mendapati kematian lelaki itu disebabkan serangan jantung.

Menurut Roslan, pada hari kejadian seorang lelaki menghantar anaknya menggunting rambut dan meninggalkannya seketika untuk ke kedai membeli kuih.

“Lelaki itu menerima panggilan daripada anaknya mengatakan Pak Cik Zul (nama panggilan mangsa) tiba-tiba telah rebah dan tidak sedarkan diri lalu bergegas ke kedai gunting.

“Keluarga mangsa kemudian dimaklumkan selain menghubungi Hospital Tangkak dan mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI