KLUANG – Kejadian pencemaran sungai di Kahang bukan perkara baru berlaku, malah ia bagaikan satu penyakit yang sentiasa berulang tanpa berkesudahan yang akhirnya penduduk menjadi mangsa.
Terbaharu, Sungai Bahai yang juga salah satu anak sungai rangkaian kepada Sungai Kahang sekali lagi menjadi mangsa kerakusan pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa air dan berpotensi mencemarkan sungai seterusnya merosakkan ekosistem kehidupan air tawar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R. Vidyananthan berkata, beliau telah dihubungi penduduk kampung berkaitan kejadian yang disedari berlaku awal pagi tadi.
Katanya, akibat daripada kejadian itu, air sungai bertukar menjadi warna kehitaman, berminyak serta mengeluarkan bau tidak menyenangkan yang berkemungkinan boleh menyebabkan hidupan sungai itu seperti ikan dan udang galah akan mati.
“Saya telah melaporkan kejadian itu kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya dan pihak berkenaan berjanji akan melakukan siasatan segera.
“Saya turut merasa kesal kerana perkara seperti ini sering berlaku walaupun pelbagai tindakan telah dikenakan kepada pihak-pihak yang didapati bersalah melakukan pencemaran air sungai di Kahang ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Vidyananthan, kejadian ini bukanlah yang pertama berlaku dan ia dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab walaupun pelbagai tindakan dikenakan sebagai pengajaran agar tidak diulangi lagi kesalahan itu. – KOSMO! ONLINE