MELAKA – Rutin mengaji al-Quran di dalam kereta setiap pagi menjadi rahsia kejayaan Muhammad Ahsan Mohd. Masnawi, 11, johan Tilawah al-Quran Lelaki Sekolah Rendah: Mahrajan al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Peringkat Kebangsaan 2025.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang, Perak itu berkata, sesi ‘kelas bergerak’ bersama ayah yang juga seorang ustaz menjadi antara pengalaman paling berharga dalam hidupnya.
“Setiap pagi dalam kereta, saya akan baca al-Quran dan ayah akan betulkan tajwid dan taranum saya, kadang-kala kami dengar rakaman bacaan qari terkenal di Perak.
“Latihan dalam kereta itu mula-mula agak mencabar sebab masa singkat, tapi bila dibuat setiap hari, saya rasa lebih yakin dan lancar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup MQSS yang dirasmikan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad di Politeknik Merlimau, di sini hari ini.
Tambah anak sulung dari dua beradik itu, dia mula mendalami ilmu taranum sejak berusia lapan tahun dan turut belajar daripada beberapa qari selain ayahnya sendiri.
Sementara itu, Mohd. Azam berkata, penganjuran MQSS bukan sahaja medan mencungkil bakat pelajar dalam seni al-Quran, malah menjadi platform memupuk kecintaan terhadap kalamullah sejak kecil.
“Kita mahu pelajar bukan sahaja bijak dalam akademik tetapi juga mendalami ilmu agama untuk membentuk peribadi yang seimbang,” katanya. – KOSMO! ONLINE