PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Mabel Sheela Muttiah berhubung saman fitnah RM100 juta yang difailkannya terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.
Saman fitnah itu adalah berhubung artikel yang menyentuh isu kematian Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai panel Datuk Azizah Nawawi selepas menolak rayuan Mabel yang juga bekas pegawai khas kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali selaku perayu.
Dalam penghakimannya ketika memutuskan keputusan itu, panel menyatakan bahawa mahkamah terikat dengan keputusan terdahulu yang menetapkan bahawa plaintif (Mabel) mesti mengemukakan terjemahan artikel fitnah yang dipertikaikan dalam Bahasa Melayu.
“Dalam kes ini, tiada terjemahan artikel fitnah yang dipertikaikan dalam Bahasa Melayu dan ini jelas menunjukkan ketidakpatuhan terhadap Aturan 92. Kami dapati tiada kesilapan yang boleh dirayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi. Oleh itu, rayuan ini ditolak dengan kos sebanyak RM10,000,” katanya.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Semasa prosiding, peguam Guok Ngek Seong dan Phyllia Lim bertindak bagi Rewcastle Brown manakala Mabel diwakili peguam Datuk David Gurupatham dan R. Venothani.
Pada 2 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak tuntutan saman fitnah Mabel terhadap Clare berhubung artikel yang menyentuh isu kematian Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.
Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menolak saman Mabel itu atas alasan teknikal berkaitan terjemahan perenggan dalam artikel berkenaan.
Perenggan dalam artikel Sarawak Report bertajuk `Bagaimana Pejabat Peguam Negara berkomplot untuk menghalang bedah siasat kedua ke atas Kevin Morais – pendedahan eksklusif’, yang pada asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris, sepatutnya diterjemah kepada bahasa Melayu.
Raja Ahmad Mohzanuddin ketika membaca penghakimannya berkata, terjemahan perenggan dalam artikel berkenaan tidak dimasukkan dalam pliding dan kecacatan asas itu tidak mewajarkan mahkamah membenarkan tuntutan saman tersebut.
Beliau berpendapat, jika pihak defendan tidak membangkitkan bantahan berhubung isu terjemahan, mahkamah berpendirian artikel itu secara jelas memfitnah plaintif.
Artikel itu malah mendakwa, Mabel terlibat dalam konspirasi peringkat tertinggi untuk menipu keluarga mendiang Kevin Morais walhal mereka berhak mendapat peluang untuk bedah siasat kedua.
Mayat Kevin Morais ditemui dalam tong yang disimen selepas dia diculik dari keretanya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada September 2015.
Mabel yang juga bekas Hakim Mahkamah Sesyen menyaman editor Sarawak Report yang berpangkalan di London itu pada Julai 2019 bagi menuntut ganti rugi RM100 juta.
Mabel turut menuntut arahan mandatori untuk defendan mengeluarkan artikel daripada laman webnya manakala Clare bergantung pada pembelaan justifikasi dan keistimewaan yang layak untuk mengetepikan saman itu. – KOSMO! ONLINE