PETALING JAYA – Inisiatif penstrukturan semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah membantu peminjam yang kurang berkemampuan untuk menyelesaikan baki hutang dengan pelan pembayaran yang lebih fleksibel dan mengikut kemampuan kewangan peminjam.
Ia memberi kemudahan kepada peminjam untuk menstrukturkan semula jadual bayaran balik dan menetapkan ansuran bulanan berdasarkan kemampuan kewangan peminjam.
Selain itu, peminjam juga boleh memilih untuk memanjangkan tempoh jadual bayaran balik bagi mengurangkan ansuran bulanan, namun tempoh pembayaran balik masih tertakluk pada terma dan syarat yang ditetapkan.
Penstrukturan semula pinjaman PTPTN juga membantu peminjam daripada berdepan tindakan undang-undang atau risiko kebankrapan akibat tidak mampu membayar balik hutang.

Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam akan dikemas kini semula berdasarkan perjanjian baharu yang dipersetujui dan peminjam perlu akur dan mematuhi syarat perjanjian terkini untuk menjaga reputasi CCRIS.
Lebih menarik, inisiatif ini membolehkan tunggakan pinjaman kembali sifar dan peminjam boleh mula membayar dengan amaun ansuran yang baharu.
Natasya Nor Mohd. Nor, 36, misalnya, telah menggunakan peluang untuk menstrukturkan semula pinjamannya.
Jelasnya, dia mempunyai baki pinjaman lebih RM30,000 sejak tahun 2010 selepas menamatkan pengajian di sebuah kolej swasta di Lembah Klang.
“Alhamdulillah, sebelum ini memang saya tak mampu nak bayar pinjaman kerana tidak mempunyai pekerjaan, selain mempunyai tunggakan sebanyak RM13,000 sebelum bertukar daripada pinjaman konvensional kepada ujrah.
“Tetapi, sejak PTPTN memperkenalkan penstrukturan semula pinjaman, saya terus mengambil peluang tersebut.
“Kini dengan bayaran serendah RM171 sebulan, saya mampu mengurangkan baki hutang pinjaman sedia ada,” katanya.
Natasya yang juga merupakan pekerja sebuah syarikat swasta berterima kasih kepada PTPTN kerana memperkenalkan inisiatif tersebut.
“Bagi mereka yang mempunyai baki pinjaman terutamanya yang tidak pernah membuat pembayaran sebelum ini, rebutlah peluang disediakan. Bayarlah walaupun sedikit, daripada tidak bayar langsung,” nasihatnya.

Bagi seorang lagi peminjam, Sik Hui Yong, 32, dia amat berterima kasih kepada PTPTN kerana menyediakan kemudahan penstrukturan semula pinjaman.
“Tanpa pelan pembayaran seperti ini, agak susah untuk saya membayar balik pinjaman memandangkan saya mempunyai komitmen yang tinggi.
“Sekarang apabila PTPTN tawarkan amaun yang saya mampu bayar, tanpa berfikir panjang saya terus mula membuat bayaran balik. Sekurang-kurangnya baki hutang saya berjumlah hampir RM18,000 dapat dijelaskan walaupun memakan masa yang panjang,” katanya.
Dia turut menyeru kepada peminjam PTPTN yang belum membuat bayaran balik pinjaman supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan segera supaya generasi akan datang dapat turut memanfaatkan dana PTPTN untuk melanjutkan pelajaran.
PTPTN menyeru kepada peminjam yang tidak pernah membuat pembayaran supaya tampil berunding dan membuat penstrukturan semula pinjaman dengan pelan pembayaran yang lebih fleksibel mengikut kemampuan kewangan.
Muat turun aplikasi myPTPTN untuk rundingan bagi permohonan Penstrukturan Semula Pinjaman dan info yang lebih mudah, cepat dan selamat.
Pertanyaan lanjut boleh diajukan pada Careline PTPTN di 03-2193 3000, menerusi ‘Live Chat’ di portal www.ptptn.gov.my, atau E-Aduan PTPTN di eaduan.ptptn. gov.my/.
Peminjam juga boleh menghubungi Eksekutif Jualan PTPTN di www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn dan ikuti media sosial rasmi @PT PTNOfficial.