PASIR SALAK – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan dua varieti baharu padi yang memiliki ketahanan penyakit lebih baik dan mengeluarkan lebih banyak hasil.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, varieti MR CL3 dan MR CL4 itu hasil kerjasama strategik MARDI dan Syarikat BASF Sdn. Bhd. yang bermula sejak 20 tahun lalu.
Katanya, usaha itu bukan sahaja mencetuskan teknologi inovatif yang sesuai dengan cabaran semasa, malah menjadi model kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan industri padi dan beras negara.
“Dua varieti ini mempunyai ketahanan terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai serta dapat dimanfaatkan dalam program inisiatif KPKM yang sedang dijalankan seperti penanaman lima kali dua tahun dan SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).
“Selain itu, kelebihan MR CL3 dan MR CL4 ialah matang awal iaitu selama 99 hari dan 102 hari dengan potensi hasil melebihi tujuh tan sehektar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi Felcra Berhad, Seberang Perak di sini hari ini.
Menurut Mohamad, kaedah pengkomersilan varieti baharu itu dilaksanakan melalui Sistem Pengeluaran Clearfield yang merangkumi varieti padi, racun rumpai khas Trek dan panduan penggunaan teknologi. – KOSMO! ONLINE