SEPANG – Hanya membawa wang RM500 walaupun mendakwa mahu menetap selama sebulan di Malaysia menjadi antara punca utama kegagalan kemasukan 131 warga asing ke negara ini melalui Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu.
Jumlah wang yang tidak munasabah itu dikesan ketika pemeriksaan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu operasi khas bermula pukul 3 petang hingga 10 malam di Balai Ketibaan Antarabangsa serta Pintu Perlepasan C1 hingga C37.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat AKPS, tindakan pantas pasukan operasi berjaya menahan dan memeriksa lebih 300 warga asing.
Katanya, seramai 96 lelaki warga Bangladesh, 30 lelaki dari Pakistan serta lima warga Indonesia (empat lelaki dan seorang wanita) diarahkan pulang serta-merta selepas gagal memenuhi syarat kemasukan.
“Sebahagian pelawat mendakwa mahu menetap selama sebulan tetapi hanya membawa sekitar RM500. Ini menimbulkan persoalan besar terhadap tujuan sebenar mereka ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas AKPS, antara pelanggaran lain yang dikenal pasti termasuk tempahan penginapan yang meragukan, kegagalan melapor diri di kaunter Imigresen, serta membawa wang sara diri yang tidak mencukupi.
Agensi itu turut bimbang mereka berkemungkinan besar cuba memasuki Malaysia untuk bekerja secara haram, sekali gus menyalahgunakan pas lawatan sosial.
“Kesemua warga asing yang ditolak kemasukan telah diiringi semula ke penerbangan asal masing-masing mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Keselamatan dan kedaulatan sempadan negara akan terus menjadi keutamaan. Sebarang percubaan untuk masuk ke negara ini melalui pemalsuan dokumen atau tujuan yang meragukan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi,” ujarnya
Tambahnya, AKPS menasihati semua pelawat asing memastikan dokumen perjalanan, perancangan penginapan serta sumber kewangan mereka lengkap, tulen dan munasabah sebelum tiba di Malaysia. – KOSMO! ONLINE