PETALING JAYA – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Litar Fuji Speedway di Jepun bagi menyaksikan perlumbaan siri GT World Challenge Asia yang bermula semalam.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, kehadiran Raja Zarith Sofiah ke litar tersebut bagi memberi sokongan kepada anakanda Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar yang mewakili pasukan JMR.
Kunjungan itu turut disertai oleh Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah serta Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Dalam perlumbaan pertama bagi pusingan Fuji itu, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor bersama rakan sepasukan, Jordan Love yang memandu jentera #66, berjaya menaiki podium buat kali pertama musim ini selepas menamatkan saingan di tempat ketiga.
Sementara itu, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor yang memandu jentera #99 bersama pelumba Britain, Ben Green, terus menunjukkan aksi konsisten dengan meraih kedudukan kelapan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengikuti perlumbaan dari ibu negara, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan anakanda bongsu baginda yang akhirnya berjaya menempatkan diri di kelompok terbaik.
“Saya bersyukur Tunku Putera berjaya mendapat keputusan yang baik kali ini dan berharap dia dan abangnya (Tunku Panglima) akan terus memberikan saingan sengit pada perlumbaan kedua esok (hari ini),” menurut hantaran itu.
Untuk perlumbaan kedua, kedua-dua jentera Corvette Z06 GT3.R pasukan JMR akan bermula di barisan hadapan selepas berjaya meraih petak pertama (jentera #99) dan kedua (jentera #66) pada sesi kelayakan pagi semalam.
Perlumbaan tersebut boleh ditonton secara langsung menerusi saluran YouTube GT World mulai pukul 10.15 pagi waktu Malaysia di pautan: GT World YouTube. – KOSMO! ONLINE