fbpx

Bayi lelaki ditinggalkan atas tanah berbatu di bahu jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAYI lelaki ditemukan di kawasan bahu jalan di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau dekat Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemukan tanpa pakaian serta tidak berlapik di atas tanah berbatu di kawasan bahu jalan Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan penemuan bayi tersebut pada pukul 9.55 pagi.

Katanya, tangisan kuat bayi berkenaan didengari seorang penduduk yang sedang menjemur pakaian sebelum bertindak mencari di kawasan sekitar.

“Saksi menjerit apabila melihat seorang bayi lelaki di bahu jalan. Tidak lama kemudian, jiran sekitar keluar rumah untuk membantu membawa bayi ke kawasan lebih selamat sebelum menghubungi polis,” katanya di sini hari ini.

Hanyan berkata, siasatan awal mendapati kawasan penemuan bayi itu tidak mempunyai kamera pengawasan, namun terdapat titisan darah ditemui di kawasan sekitar.

“Bayi berkenaan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan mendapati bayi berada dalam keadaan sihat, namun mengalami kecederaan calar ringan di bahagian mata kanan dan badan sebelah kanan,” katanya.

Beliau berkata, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan bayi itu telah dibawa ke wad hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Polis sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang merupakan pelajar sekolah menengah dan dipercayai pasangan kepada remaja perempuan terbabit,” jelasnya.

Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI