PETALING JAYA – Dua sindiket yang menawarkan khidmat pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara haram kepada warga asing berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen (JIM) dalam dua serbuan berasingan di ibu negara, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi pertama pada 10 Julai lalu di sebuah premis pejabat di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, tiga lelaki warga Bangladesh termasuk dalang sindiket dikenali sebagai ‘Zakeer’ ditahan hasil risikan selama dua minggu.
“Kesemua suspek berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun dan memiliki PLKS sah di bawah sektor pembinaan. Turut disita ialah 130 pasport Bangladesh, tiga pasport Indonesia dan tiga unit telefon bimbit.
“Sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,500 hingga RM6,000 bagi setiap permohonan PLKS dan telah beroperasi hampir setahun dengan menyasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, seorang lagi lelaki warga Bangladesh turut diberi notis hadir ke pejabat imigresen untuk membantu siasatan.
Dalam serbuan berasingan di Ampang Baru, Kuala Lumpur pada hari yang sama, JIM menahan tiga lelaki iaitu dua warga Pakistan dan seorang warga Myanmar yang disyaki terlibat dalam sindiket ‘Shaheed’.
“Siasatan mendapati kumpulan ini menawarkan khidmat pengurusan PLKS dengan bayaran antara RM80 hingga RM500 bagi setiap permohonan.
“Antara rampasan termasuk lima pasport pelbagai negara, 24 pelekat Malaysia Pass (Malpass) yang disyaki palsu serta lima telefon bimbit,” katanya.
Zakaria berkata, semakan mendapati salah seorang suspek Pakistan memiliki PLKS sektor pembersihan, seorang lagi tinggal lebih masa manakala lelaki Myanmar memiliki kad UNHCR.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE