ROMPIN – Pukat hantu atau pukat tidak bertuan yang berada di dasar laut dikenal pasti sebagai antara ancaman kepada hidupan laut di perairan negeri ini.
Pegawai Perikanan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Jabatan Perikanan Pahang, Mohamad Anuar Roslan berkata, pukat berkenaan menjadi perangkap maut kepada hidupan marin yang meliputi kepelbagaian spesies ikan dan penyu.
“Penyu akan mati selepas beberapa jam tidak dapat timbul ke permukaan laut untuk bernafas, reptilia berkenaan tersangkut pada pukat hantu ketika mencari makanan di kawasan banyak terdapat batu karang yang menjadi tempat ikan membiak.
“Kali ini pukat hantu seberat lebih 50 kilogram (kg) sepanjang 150 meter yang terdapat di perairan Pulau Tokong Burung berjaya dipindahkan menerusi program pembersihan dasar laut,” katanya di sini semalam.
Program tanggungjawab sosial korporat itu dianjurkan Jabatan Perikanan Pahang dengan kerjasama Muck Dive Scuba, Che Wan Scuba, Black Eye Scuba Team, Sahoca Divers, Pertubuhan Sahabat Pertahanan Awam (PeSPA) dan Scuba G yang mengambil masa lebih tujuh jam melibatkan 40 penyelam.
Istilah pukat hantu digunakan apabila pukat tidak bertuan dan tidak bertanda yang menjadi perangkap kepada hidupan marin.
Menurut Mohamad Anuar, difahamkan pukat hantu yang berada di perairan Pulau Tokong Burung di sini dikesan sejak sebulan lalu di kedalaman 12 meter.
Katanya, kumpulan penyelam menaikkan pukat hantu daripada dasar laut menggunakan alat khas sebelum dipindahkan ke atas bot dan dibawa ke darat untuk dilupuskan di tapak pelupusan.
Beliau berkata, pihaknya tidak pasti kehadiran pukat hantu di perairan Pulau Tokong Burung itu, tetapi berkemungkinan pukat itu tersangkut di dasar laut atau terdapat juga kes nelayan membuang pukat mereka yang rosak ke laut.
“Kini kesedaran nelayan tempatan terutama di kawasan Pulau Tioman terhadap kepentingan menjaga perairan Pulau Tioman dengan tidak membuang pukat ke dalam laut telah lama berlaku.
“Komuniti Pulau Tioman yang terbabit dengan aktiviti menyelam di perairan pulau peranginan turut bertindak memindahkan pukat hantu setiap kali mereka menyelam bersama pelancong,” katanya.
Sementara itu, pemilik Muck Dive Scuba, Zuriana Mohamad Zaini berkata, program kali ini dianggap berjaya dan memenuhi sasaran apabila berjaya memindahkan pukat hantu.
“Selepas ini kita bercadang mengadakan program pembersihan dasar laut di perairan Beserah, Kuantan membabitkan usaha membuang pukat hantu yang menutup kapal karam. Banyak batu karang rosak disebabkan pukat berkenaan,” ujarnya.















