KUALA LUMPUR – Syarikat Labbaik Travel Tours Sdn. Bhd. memperkenalkan pakej khas Umrah Kembali Fitrah bagi membantu golongan yang bergelut dengan tekanan emosi dan masalah kesihatan mental.
Menerusi pakej itu, syarikat akan menjalin kerjasama dengan pendakwah dan pakar motivasi, Da’i Izzhar Nazri yang juga Duta Labbaik Travel Tours.
Pengarah Urusannya, Muhd. Yasin Yunaris berkata, usaha itu merupakan sebahagian misi jangka panjang dalam menawarkan pengalaman umrah yang lebih bermakna dan menyentuh hati.
“Kerjasama ini membawa misi bukan sekadar perjalanan ke Tanah Suci, tetapi menyucikan jiwa dan mengembalikan manusia kepada fitrah sebenar.
“Kami mahu buka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia terutama yang berdepan masalah kesihatan mental untuk menemui ketenangan sebenar menerusi umrah,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Labbaik Travel Tours dan Da’i Izzhar di Wisma Andalusia, di sini hari ini.
Menurut Muhd Yasin, pakej Umrah Kembali Fitrah yang akan bermula pada tahun hadapan ditawarkan serendah RM8,900 seorang menerusi dua perjalanan dari 25 Januari hingga 5 Februari dan 12 April 2026.
“Perjalanan umrah bersama Da’i Izzhar menekankan bimbingan rohani secara eksklusif dan pengalaman umrah yang menyentuh hati dengan pendekatan lebih peribadi.
“Dengan dua tarikh yang kami sediakan pada tahun hadapan ia akan membuka peluang kepada lebih ramai orang,” katanya.
Sementara itu, Da’i Izzhar berkata, beliau akan menggunakan pengaruh media sosial dan pengikutnya bagi menyampaikan mesej penting tentang nilai sebenar ibadah umrah dalam mencari ketenangan.
“Ramai anak muda dan golongan profesional ada kemampuan kewangan, tapi tidak tahu cara terbaik untuk mencari ketenangan jiwa berlandaskan ajaran agama.
“Saya mahu membantu mereka melihat hikmah dan falsafah di sebalik perjalanan umrah menerusi platform yang lebih dekat dengan mereka,” ujarnya.
Beliau berharap agar usaha tersebut mampu menjadi alternatif rohani yang memberi harapan dan ketenangan jiwa buat mereka yang mencari makna sebenar kehidupan. -KOSMO! ONLINE