fbpx

Helikopter terhempas: Adeline baharu dua bulan berumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim melakukan lawatan kebajikan ke atas kru helikopter yang terlibat dalam nahas di Hopital Sultanah Aminah, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Koperal Adeline Liu Yan Siu yang terlibat dalam tragedi helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah kelmarin baharu melangsungkan perkahwinan, dua bulan lalu.

Suaminya, Koperal Mohd. Helmie Huzaire Sabli, 34, memberitahu, mereka telah melangsungkan perkahwinan pada 20 Mei lalu.

Katanya, Adeline, 32, telah berkhidmat sebagai anggota polis sejak 2014, sebelum menyertai Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM pada 2017.

“Ya, kami baharu berkahwin dua bulan lalu setelah berkenalan ketika mula-mula menyertai polis. Dia berkhidmat di PGU PDRM berpangkalan di Subang Jaya, manakala saya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

“Semasa mendapat panggilan telefon memaklumkan kejadian yang menimpanya, memang saya terkejut dan sedih. Tetapi Alhamdulillah keadaannya sudah semakin stabil,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Helmie, Adeline mengalami kecederaan dibahagian paru-paru, selain patah tulang belakang dan kelenjar pinggang bengkak.

“Dia masih berada di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) ketika ini, tetapi kesihatannya semakin baik. Dia boleh bernafas tanpa bantuan alat pernafasan, selain sudah boleh bercakap.

“Paru-parunya juga semakin baik, manakala bengkak di kelenjar pinggang tidak memerlukan pembedahan. Cuma perlukan masa untuk pemulihan tulang belakang,” jelasnya.

Tambah Mohd. Helmie, dia berharap rakyat Malaysia akan mendoakan untuk kesembuhan bukan sahaja isterinya, tetapi juga empat anggota polis lain yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Semalam, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim memaklumkan hanya seorang anggota terlibat masih ditidurkan.

“Konstabel Devendran A/L Raja Gopal masih ditidurkan bagi mengurangkan pergerakan untuk mempercepat proses pemulihan. Kita harap mereka semua pulih dalam masa terdekat,” ujarnya.

Kelmarin, media melaporkan helikopter jenis AS355N yang menyertai latihan keselamatan serantau sempena Nuclear Security Detection Exercise Malaysia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025) telah terhempas.

Helikopter tersebut berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi dan kemalangan dilaporkan berlaku pada 10.25 pagi di kawasan Jeti Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Gelang Patah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI