PETALING JAYA – Sebuah video yang memaparkan aksi seekor panda gergasi betina yang lahir di negara ini, Nuan Nuan ‘mengamuk’ di sebuah zoo tular di media sosial.
Menerusi video berdurasi dua minit yang tular di laman X, Nuan Nuan yang kini ditempatkan di sebuah zoo di China dilihat menyerang seekor burung merak yang berada di dalam sangkarnya.
Difahamkan, Nuan Nuan yang merupakan anak pasangan panda Feng Yi dan Fu Wa itu berang selepasa diprovok oleh burung merak berkenaan yang bebas bergerak di dalam zoo itu.
Tindakan Nuan Nuan mengejar burung tersebut dan mencabut bulunya turut mengejutkan pengunjung.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna terkejut melihat reaksi panda tersebut.
“Pertama kali nampak panda garang,” kata Peter.
“Pertama kali saya tengok panda lari laju, selalunya tengok mereka baring sahaja,” kata Maria.
“Berani burung merak tu kacau, dia tak tahu ke Nuan Nuan lahir dekat Ampang?,” seloroh Man.
Sehingga kini video tersebut telah ditonton lebih empat juta kali.
Terdahulu, Nuan Nuan dilahirkan di Zoo Negara pada 18 Ogos 2015 dan dipulangkan ke China pada tahun 2017. – KOSMO! ONLINE
Nuan Nuan, a panda that was returned to China from Malaysia, became enraged at being provoked by a peacock that was running loose in the zoo, and taught the peacock a lesson by beating it badly and plucking its tail feathers.pic.twitter.com/gjAVO7kJLX
— Massimo (@Rainmaker1973) July 10, 2025