PETALING JAYA – Peminat kumpulan rock terkenal, My Chemical Romance (MCR) kecewa apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menjual semula tiket konsert kumpulan tersebut yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada harga lebih tinggi.
Menerusi beberapa hantaran di laman X, rata-rata pengguna berang dengan kemunculan ‘scalper’ sebaik sahaja tiket sudah tidak dapat dibeli dalam tempoh beberapa jam sahaja.
Seorang pengguna dikenali sebagai SiDudut berkata, harga tiket konsert tersebut bagi tempat duduk berharga RM599 juga didapati dijual semula pada harga RM2,500.
“Tiket RM599 secara magisnya menjadi RM2,500 oleh scalper’s. Mesti seronok dapat duit hasil menghancurkan hati peminat sebenar,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai Fareez mengingatkan orang ramai agar tidak terburu-buru membeli tiket daripada pihak tersebut.
“Kalau ada scalper jual, jangan beli. Tunggu sampai hujung tahun. Silap-silap kau sempat dapat bonus masih boleh beli lagi. Jangan bagi peluang kutu-kutu ini buat duit melampau,” katanya.
Tinjauan Kosmo! di aplikasi jualan barangan terpakai Carousell mendapati, terdapat beberapa pengguna sudah mula menjual tiket konsert tersebut pada harga yang tinggi.
Terdahulu, MCR dijangka hadir ke Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada jelajah mereka bagi tahun 2026. – KOSMO! ONLINE