TUMPAT – Majlis Amanah Rakyat (Mara) mahu memastikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul- Albab pertama di Kelantan yang akan dibina di Tanah Merah, dekat sini menjadi kenyataan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan pembinaan MRSM itu sudah ada dan perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Mara akan datang.
“Mesyuarat itu bagi membolehkan kita menulis semula surat kepada Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan kembali MRSM Ulul-Albab itu.
“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah memberikan arahan dan persetujuan dan saya akan berusaha menyegerakan proses tatakelola pembinaan MRSM Ulul-Albab di Tanah Merah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat di MRSM Tumpat, di sini hari ini.
Menurutnya, semua 57 MRSM ketika ini sedang melaksanakan program Ulul-Albab iaitu mini Ulul-Albab atau Tahmidi yang mememrlukan pelajar-pelajar sekurang-kurangnya menghafaz lima juzuk al-Quran atau surah-surah terpilih termasuk Juz ‘Amma. – KOSMO! ONLINE