KUCING. Itu merupakan perkataan yang sentiasa menjadi mimpi ngeri buat Naim (bukan nama sebenar) setiap kali mendengarnya.
Meskipun sudah hampir tujuh tahun berlalu, namun kejadian tersebut (perceraian) bagaikan baru sahaja berlaku kepada dirinya.
Sekian lama menyimpan rasa, anak kelahiran Selangor itu akhirnya berani berkongsi perkara yang terjadi kepada dirinya.
“Jujur kata, saya memang tidak suka kucing. Bukan benci, tapi disebabkan si bulus ini, rumah tangga saya jadi porak-peranda.
“Pengakhirannya, saya dan isteri bercerai kerana tiada persefahaman, meskipun pelbagai usaha telah dilakukan,” katanya memulakan bicara bersama K-Wanita.
Menurut eksekutif perbankan tersebut, sejak berkenalan dengan isterinya kira-kira sedekad lalu, dia cukup faham dengan minat dan kasih sayang wanita itu terhadap haiwan terutamanya kucing.
Ujar lelaki berusia 40 tahun itu, minat tersebut tidak menjadi masalah kepada dirinya kerana setiap orang ada hobi masing-masing.
Menurut Naim, meskipun tidak terlalu sukakan haiwan, namun dia tidak pernah menghalang isterinya memelihara binatang di rumah.
“Sejak saya kenal isteri, dia memang suka dan cintakan kucing.
“Sejak kecil lagi, dia sudah terbiasa dengan kucing kerana arwah ibunya ada memelihara haiwan tersebut.
“Pernah beberapa kali, dia (isteri) bawa sekali kucing kesayangannya ketika kami keluar bersama,” katanya.
Usai disatukan, isteri Naim ada meminta izinnya untuk memelihara lima ekor kucing yang dibawa dari kampung ke rumah sewa mereka di Lembah Klang.
Enggan berfikir panjang, Naim membenarkan isterinya memelihara kucing di dalam rumah, asalkan dia mampu menjaga si bulus dengan baik.
“Apa yang saya perasan, apabila ada kucing di rumah, isteri jadi leka dan asyik fokus pada si bulus saja.
“Pada awalnya, saya okay kerana faham isteri saya memang sayang dan manja dengan kucing-kucingnya.
“Lama-kelamaan, saya dapati dia mula berubah. Saya perasan perlakuan isteri sudah tidak sama seperti di awal pernikahan kami dulu.
“Biarpun telah dikurniakan cahaya mata, namun isteri tetap memberi fokus istimewa pada kucing-kucingnya.
“Jika dulu ada lima ekor, tapi selepas tiga tahun, ia bertambah menjadi berbelas ekor.
“Isteri saya ini bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta.
“Sebaik saja sampai rumah lepas balik kerja, dia terus cari kucing-kucingnya dulu untuk bermain.
“Saya tiada masalah, jika dia hendak main sebentar dengan kucing-kucingnya lepas balik kerja.
“Sebaliknya, dia habiskan masa terlalu lama dengan kucing sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan suri rumah tangga. Semua hal saya kena buat sendiri,” katanya.
Tambah Naim, isterinya juga mengabaikan kebajikan anak tunggal mereka terutamanya dari segi makan dan minum.
“Saya ada tegur isteri mengenai sikap obsesnya pada kucing.
“Sebaliknya isteri menjawab, sikap itu memang tidak boleh diubah lagi. Isteri beritahu, bermain dengan kucing merupakan salah satu terapi kepadanya,” ujarnya.
Selain itu, rumah Naim juga sentiasa berbau kucing dan banyak bulu haiwan tersebut di lantai. Perkara itu langsung tidak diendahkan oleh isterinya.
“Anak kami yang sihat, akhirnya disahkan oleh doktor telah mendapat alahan disebabkan bulu serta bau kucing yang terperap di dalam rumah,” ujarnya.
Hampir empat tahun memendam rasa, Naim sudah tidak tahu lagi perkara yang perlu dilakukannya untuk mengubah sikap isterinya. Setelah berfikir masak-masak dan mendapat persetujuan keluarga, Naim mengambil keputusan untuk berpisah secara baik di Mahkamah Syariah.
Isterinya juga bersetuju untuk memberi hak penjagaan anak tunggal mereka kepada Naim, sekali gus membolehkannya menumpukan perhatian pada kucing.
















