KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga pasar borong kerugian RM500,639.50 termasuk sebahagiannya bersumberkan kad kreditnya apabila diperdaya sindiket penipuan tawaran kerja sambilan palsu.
Lelaki berusia 38 tahun yang menyedari tertipu itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 2.29 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa yang juga penternak lembu ditawarkan kerja sambilan tersebut oleh salah seorang kenalan Facebooknya menerusi aplikasi WhatsApp.
“Tawaran kerja sambilan itu mudah iaitu melakukan tugasan menerusi aplikasi laman e-dagang terkenal dengan komisen lumayan.
“Pada mulanya, peniaga buah dan barangan runcit terbabit menerima komisen dijanjikan selepas menyelesaikan tugasan awal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Azli berkata, begitupun, lelaki itu mula tidak menerima komisen bagi tugasan seterusnya tetapi diarahkan membuat tugasan baharu kononnya sebagai syarat menerima tunggakan imbuhan terbabit.
Beliau berkata, bagaimanapun, mangsa tetap tidak menerima komisyen dijanjikan sebelum akhirnya menyedari tertipu.
Azli berkata, sepanjang melakukan tugasan terbabit, peniaga itu melakukan 38 transaksi pindahan wang bernilai keseluruhan RM500,639.50 ke dalam 22 akaun bank berasingan. – KOSMO! ONLINE