fbpx

Galeri Sultan Azlan Shah dibuka menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Galeri Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar ditutup sejak 2023 bagi memberi laluan kepada proses baik pulih dan konservasi. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

KUALA KANGSAR – Galeri Sultan Azlan Shah yang ditutup sejak 2023 bagi proses konservasi dan naik taraf dijangka dibuka kepada orang ramai menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, banyak aspek yang perlu diteliti dalam usaha membaik pulih bangunan bersejarah itu terutamanya melibatkan sudut kawalan kualiti.

Justeru, beliau menyangkal dakwaan bahawa pihak berwajib mengambil masa terlalu lama untuk membaik pulih Galeri Sultan Azlan Shah dan menyifatkan kerja-kerja berkaitan di sana adalah tidak sama dengan membaiki rumah sendiri.

“Ia bukan seperti baiki rumah sendiri. Ada material-material khusus yang diperlukan (bagi tujuan baik pulih) terutamanya apabila melibatkan aspek warisan.

“Ada bahan yang sukar untuk kita dapat di pasaran dan memerlukan ia ditempah atau dicari di luar negara,” katanya kepada pemberita di Jambatan Victoria di Enggor di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Jambatan Victoria dan meninjau kawasan sekitar sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Galeri Sultan Azlan Shah telah dibaik pulih dari istana lama iaitu Istana Ulu yang mula dibina pada 1898 dan siap pada 1903.

Ia pada asalnya pernah menjadi tempat persemayaman tiga Sultan Perak iaitu Almarhum Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah dan Almarhum Sultan Yussuf Izzudin Shah.

Istana itu kini merupakan sebuah galeri yang merakamkan sejarah dan peristiwa penting perjalanan hidup Almarhum Sultan Azlan Shah.

Pada masa sama, Sze Yee berkata, kejuruteraan struktur juga diambil kira dalam proses baik pulih Galeri Sultan Azlan Shah kerana ia harus menepati standard sebelum bangunan itu dibuka kepada umum.

“Begitu juga dengan kayu yang digunakan dalam bangunan ini. Memang boleh kalau nak gantikan bahan itu dengan komposit kerana rupanya memang macam kayu tetapi kita nak gunakan yang Asli. Kayu asli ini kita nak dapatkan tetapi ia memakan masa sedikit,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri Perak terus komited dalam usaha memperkasa sektor pelancongan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Katanya, peruntukan berjumlah hampir RM2 juta iaitu RM1.97 juta telah disalurkan bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan di daerah Kuala Kangsar sepanjang tempoh Januari hingga Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI