JERANTUT – Seorang warga emas sudah tidak dapat menahan bebanan hidupnya apabila bukan sahaja semput teruk, malah perlu menjaga isteri dan anak lelakinya yang lumpuh di Felda Kota Gelanggi Dua di sini sejak tiga tahun lalu.
Abu Bakar Othman, 72, berkata, dia berdepan ujian besar itu apabila pergerakan isteri Hasnah Masder, 67, dan anak lelaki, Mazlan, 41, terbatas selepas diserang angin ahmar.
Katanya, lebih malang dia belum mempunyai rumah sendiri dan sekadar menyewa di situ sejak 1984 kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap.
“Saya tidak lagi bekerja selepas diserang semput teruk dan sukar bernafas. Ia berlaku selepas saya menjalani pembedahan penyakit hernia dua tahun lalu yang mengakibatkan keadaan kesihatan diri kerap terganggu.
“Isteri dan anak yang sakit sejak Februari 2023 perlu dijaga. Seluruh anggota badan dan sebelah kanan lumpur hingga mereka hanya boleh mengesot dalam rumah,” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi Dua di sini baru-baru ini.
Menurut Abu Bakar, isterinya telah beberapa kali menjalani rawatan di hospital kerajaan, tetapi keadaan penyakitnya masih belum ada tanda hendak sembuh.
Tambahnya, ujian ke atas bertambah apabila Mazlan turut diserang penyakit sama pada September 2024 ketika bekerja di Kelantan hingga tangan dan kaki kiri tidak boleh bergerak.
“Kami tidak mampu beli harta dan rumah dan sekadar mengharapkan ihsan pengurusan Felda untuk sewa rumah dengan bayaran RM120 sebulan,” katanya yang mempunyai enam orang anak berusia antara 38 hingga 50 tahun.
Ujar Abu Bakar, perbelanjaan barang dapur, sewa rumah, utiliti serta kos berulang alik ke hospital mencecah RM2,000 sebulan dibantu oleh anak-anak yang sudah berkeluarga.
“Saya bimbang sekiranya rumah ini tidak lagi dibuat sewa, ke mana lagi saya bersama keluarga hendak berteduh sedangkan saya tidak ada pendapatan, malahan memikul tanggungjawab berat menjaga isteri dan anak yang menderita angin ahmar,” katanya.
Sehubungan itu, Abu Bakar berharap kerajaan negeri dan pihak berwajib serta dermawan dapat memberikan bantuan tapak dan membina sebuah rumah baharu serta pembiayaan keperluan kebajikan kepada dia sekeluarga.
Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi Abu Bakar di talian 019-940 4576 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam miliknya di nombor 06055020192433.