fbpx

Tiga beranak dalang kartel susu tepung disiasat SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam.

KUALA LUMPUR – Tiga beranak disyaki dalang kartel pembekalan susu tepung kepada jabatan kerajaan bernilai RM120 juta ditahan menerusi Op White di sini, semalam.

Operasi tersebut dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia membabitkan serbuan ke atas tiga kediaman dan sebuah syarikat sekitar ibu negara hasil risikan kira-kira tiga bulan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, tiga beranak berusia 40 hingga 70-an itu terdiri daripada dua pemilik dan seorang pengarah syarikat.

Katanya, kesemua premis tersebut disyaki menyimpan segala dokumen berkaitan kontrak pembekalan susu tepung yang dipercayai sejak tahun 2019.

“Bagaimanapun syarikat milik pasangan suami isteri tersebut dipercayai memonopoli tender pembekalan susu tepung tersebut sejak 20 tahun lalu.

“Tiga suspek terdiri daripada pasangan suami isteri serta seorang anak dipanggil ke SPRM Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.

Azam berkata, kesemua suspek melalui syarikat mereka disyaki membekalkan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan seluruh semenanjung Malaysia yang tidak memenuhi piawaian keselamatan makanan.

Kegiatan itu disyaki dilakukan sejak tahun 2021 hingga 2024 dan bermula 2024 hingga 2027 kontrak pembekalan meliputi dua zon sahaja iaitu Zon Selatan dan Pantai Timur.

Kata beliau lagi, seorang lagi anak pasangan suami isteri tersebut yang juga merupakan pengarah syarikat kini berada di luar daerah atas urusan kerja dan telah diarahkan pulang untuk dirakam keterangan.

Dalam serbuan semalam, SPRM turut membekukan sebanyak 75 akaun yang terdiri daripada 24 akaun individu dan 51 akaun syarikat berjumlah kira-kira RM156 juta.

Tambah beliau, siasatan kini menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 selain penyiasatan turut mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain khususnya di bawah AMLATFPUAA 2001 yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan juga Akta Cukai Pendapatan 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI