fbpx

‘Qisya luah rindu, pakai baju umi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTRI Qisya (kanan) memakai baju arwah ibunya ketika dikunjungi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan isteri di Taman Seri Aman, Jitra pada semalam. Pic Ihsan UPDA

JITRA – “Semalam Qisya pakai baju arwah uminya, mungkin dia rindu tapi tak nampak air mata (menangis)”.

Demikian kongsi Nazirah Ismail, 67, nenek kepada Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapanya, Mohamad Azim Izat dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, ditemukan lemas di Sungai Korok, di sini kelmarin.

Turut lemas dalam kejadian kereta terbabas ke dalam sungai itu ialah empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.

Menurut Nazirah, walaupun nampak kuat, dia mengetahui sebenarnya cucunya itu memendam perasaan sedih.

“Selepas kejadian itu, memang sekali-sekala dia sedih dan kami cuba kuatkan dia, beri nasihat dan ajar dia doa supaya dia kuat. Bila kawan-kawan datang, dia nampak ceria,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Aman, di sini hari ini.

Katanya, sesekali cucunya itu meluahkan rasa rindu kepada ibu bapa dan empat adiknya.

“Dia kata macam mana kakak nanti, kakak rindu walid, rindu umi. Saya pujuk dia kalau rindu kita boleh tengok gambar arwah dan sesekali ziarah kubur.

“Malam tadi Qisya tidur dengan ibu saudaranya dan saya juga akan berada di sisinya buat masa ini,” ujarnya.

Berhubung penjagaan Putri Qisya, dia menyerahkan kepada cucunya itu untuk membuat keputusan.

“Terpulang kepada Qisya, kita tak boleh nak salahkan dia sebab mungkin dia rasa serba salah. Sini tok, sana pun tok, cuma kalau tinggal di sini lebih mudah nak uruskan sekolah.

“Tapi kalau tinggal di sana pun, kami tak akan biarkan, akan sama-sama jaga. Buat masa ini dia tidak akan berpindah sekolah sebab dah tinggal beberapa bulan lagi nak habis persekolahan,” jelasnya yang merupakan pesara guru.

Tambahnya, Putri Qisya setakat ini nampak berminat dengan tawaran menyambung persekolahan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Buat masa ini kami tak bincang lagi, cuma arwah ibu Qisya memang berhajat nak hantar ke MRSM Ulul Albab, kebetulan dapat tawaran semalam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI