PETALING JAYA – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk memberi keterangan berhubung isu penjualan saham dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keterangan itu akan diambil dalam prosiding khas yang dijadualkan berlangsung esok.
Ini bagi meneruskan siasatan terhadap isu pengurusan lapangan terbang awam di bawah Kementerian Kewangan, Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Sepanjang minggu ini, PAC mengadakan enam prosiding melibatkan beberapa tokoh utama dalam sektor kewangan dan pelaburan termasuk mantan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank Berhad, Lee Jim Leng.
Turut hadir memberikan keterangan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan, Datuk Nik Amlizan Mahamed, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Datuk Abdul Rahman Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed dan Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Zain Azhari Mazlan.
Sehingga kini, PAC mengadakan 14 mesyuarat prosiding bagi menyelidik secara menyeluruh isu penswastaan MAHB yang mendapat perhatian awam.
Menurut Mas Ermieyati, laporan dan penyata rasmi akan dibentangkan selepas semua pihak berkepentingan selesai memberikan keterangan masing-masing. – KOSMO! ONLINE.