KUALA SELANGOR – Suasana di sebuah institut memandu di Jalan Bukit Rotan di sini, gempar dengan kehadiran seekor landak yang tersesat di kawasan itu semalam.
Kejadian kira-kira pukul 4.31 petang itu berlaku ketika semua orang awam baru selesai mengikuti kelas memandu kenderaan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Mohamad Saufee Akmal Bolah @ Hasbullah berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada kakitangan institut itu.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut menemukan seekor landak di kawasan parkir motosikal premis berkenaan.
“Haiwan eksotik itu didapati dalam keadaan ketakutan dan operasi menyelamat terpaksa dilakukan anggota secara berhati-hati.
“Landak itu kemudian berjaya ditangkap dalam tempoh kira-kira 15 minit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya hari ini.
Tambah Mohamad Saufee, landak itu dibawa keluar dengan selamat dan dilepaskan semula ke habitat asal. – KOSMO! ONLINE